top of page

STAY | BAB 9



“Selama mana lagi aku harus menzahirkan dendam dan berharap tenang tumbuh di hati?” – Adib



SEJAK akhir-akhir ini Adib sering terfikir akan perjalanan kehidupannya. Daripada yang paling indah kepada yang paling kusut dan hitam. Apakah yang telah dilakukannya sepanjang kehidupan selama ini selain daripada seronok berlibur? Dia jarang sekali diduga dengan kesusahan. Tidak juga diberi kesakitan teruk sepanjang hayatnya. Hanya sekali itu sahaja, diduga oleh cinta. Perjalanan hidupnya lancar sejak daripada kecil sehingga kini. Hidup dilimpah kemewahan. Petik jari segalanya tersedia. Usahkan material, petik jari juga perempuan-perempuan yang diinginkan untuk mengisi malam-malam sunyi atau memanaskan katilnya boleh saja dipilih mana yang mahu. Tunjuk saja mana yang berkenan.


Setelah menginjak ke usia tiga puluh tahun pun Adib masih belum berasa puas. Telah dapat yang dirasakannya sempurna, dia mahu yang lebih sempurna. Sudah dilimpah mewah, dia masih tidak berasa cukup, lantas mahu lagi dan lagi. Perempuan-perempuan yang datang dalam hidupnya bersilih ganti. Bukan calang-calang cantiknya dan terdiri dikalangan mereka yang berkerjaya, tapi Adib tetap mahukan yang lebih daripada apa yang sudah berjaya dimiliki. Rasa tidak puas itu tidak pernah pudar daripada jiwanya selama ini. Jangan tanya soal solat atau agama. Amnya, dia tidak ambil pusing. Bukan tidak tahu. Bukan tidak diajar. Dia sendiri yang tidak betah untuk mempraktikkannya.


Tetapi sejak akhir-akhir ini dirasakan hidupnya kosong. Bermula daripada detik Alya menghantar pesanan ringkas, mengingatkan dirinya agar tidak melupakan solat, dia seperti terhukum oleh sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu ditafsirkan sebagai apa. Mulanya, pesanan itu dibiarkan sahaja. Malah dia berasa sedikit jengkel waktu pertama kali menerimanya. Siapa perempuan bernama Alya itu untuk mengingatkan dirinya? Ego lelakinya tercabar semula. Namun, setiap kali ada masa luang untuk dia dan Alya keluar makan bersama, ego lelakinya sering luntur apabila melihat gadis itu tetap mencari kesempatan untuk menunaikan solat walau di mana mereka berada. Dia jadi malu walaupun Alya tidak pernah menegurnya.


Masa yang diluang bersama Alya sedikit sebanyak menjadikan diri Adib lelaki yang berbeza daripada sebelumnya. Dia lebih senang terus pulang ke rumah selepas habis waktu kerja atau hanya pergi ke gym untuk bersenam. Tidak seperti lazimnya, pantang ada masa luang, dia pasti ke pusat hiburan. Teman-teman juga kini sering mempersoalkan. Ada yang marah, ada yang tidak percaya malah ada yang kini menjauhkan diri daripadanya.


Tidak seperti dahulu, kini dia tertunggu-tunggu pesanan ringkas daripada Alya, walaupun hanya sepotong tanya, “Sudah solat?” Sekalipun pesanan itu dijawab Adib, dia tahu Alya tidak akan menghantar sebarang balasan semula. Jika sepotong soalan itu yang dihantar oleh Alya, maka itulah penyudah untuk hari itu. Tidak seperti gadis lain yang cukup mudah digoda. Gadis bernama Alya ini jauh berbeza.


Jika sebelum ini perempuan baginya seperti alas kaki, keperluan yang perlu ada. Buruk sahaja akan diganti tetapi kini Adib tidak mampu meletakkan Alya di dalam kelompok yang sama. Jika sebelum ini perempuan-perempuan pemuas nafsunya boleh saja diperlekeh dan dijaja cerita luar dan dalam, tetapi dia jadi malu untuk memperlekehkan Alya. Inikan pula merendah-rendahkan maruah gadis itu.


Bukanlah Alya terlalu sempurna, namun ada sesuatu di dalam diri Alya yang menjadikannya kalah. Menjadikan egonya runtuh walaupun Alya tidak pernah berbuat apa-apa selain melayan dirinya seperti rakan lelaki yang lain. Meskipun Alya tidak pernah memberi ruang kepadanya untuk mengambil kesempatan, namun dia tidak pula berasa benci atau marah seperti lazimnya. Bual kosong bersama Alya, lewat petang tadi kembali menerjah mindanya. Membuat dirinya berfikir dan terus berfikir.


“I ada nampak you bertengkar dengan one of your female staff pagi tadi... thought of discussing something with you but I don’t think it’s the right time. Big problem I guess?”


“Oh, she had the nerved to say that part of my decision in our business direction for one of our client is wrong.”


“Is it not? Maybe she had a point. I tak kata dia betul but it’s not wrong to re-evaluate, right?”


“I know some part of it is not a right decision.”


“So, why did you treated her that way?”


“Come on... I am a man. Men have egos which women should know better,” direnung wajah Alya yang masih senyum cuba mencari sebarang reaksi tidak senang di situ. Tiada. Hanya senyuman.


“Menjadi lelaki tidak semestinya sentiasa berpaut kepada ego, ada masanya... kelelakian seorang lelaki itu boleh jadi lebih hebat jika dia tahu menggunakan keegoannya untuk perkara-perkara yang perlu sahaja. Serupa juga bagi seorang perempuan. Tidak akan lemah seorang perempuan jika menjunjung sopan dan adab serta meletak kelembutan lebih tinggi berbanding kekerasan. Sedangkan air boleh melekukkan batu... I believe in that. Don’t you?” balas Alya menyebabkan Adib terdiam. Sungguh, dia tidak mampu menidakkanya. Dia hanya mampu melihat wajah manis dihadapannya dan seboleh mungkin cuba menyembunyikan segala rasa yang bergolak. Dirasakan juga patah kata Alya bagai menampar-nampar wajahnya ketika itu.


Malam ini, seperti biasa, Adib masih menunggu pesanan ringkas daripada Alya. Entahkan ada, entahkan tidak. Dari pukul 9.00 malam berganjak ke pukul 12.00 tengah malam, masih juga tiada. Dia jadi kecewa. Lantas dimatikan lampu dan cuba melayan perasaan kecewa itu diam-diam hingga lena mula bertenggek di kelopak matanya tetapi bunyi pesanan ringkas yang dikhaskan untuk Alya menerjah ke telinganya. Cepat-cepat dicapai telefon bimbit dan dibaca pesanan tersebut...


“May Allah bless your sleep, Adib. Goodnight. Assalamualaikum.”


Direnung pesanan itu dan kemudiannya dibalas hanya dengan sambut salam kerana dia tahu, tidak perlu untuknya melakukan lebih daripada itu. Dibacanya lagi pesanan itu berkali-kali hingga lekat dimindanya. Dirasakan hatinya mencair. Larut dalam pelbagai rasa yang selama ini tidak diperlukan. Itu fikirnya.


“Sudah lama aku tak rasa macam ni,” Adib senyum sendiri dan kembali cuba melelapkan mata dalam rasa yang tidak tahu untuk ditafsirkannya.

Comments


Subscribe Form

©2020 by Dandelions In The Sky. Proudly created with Wix.com

bottom of page