STAY | BAB 15
- Rumiè Al-Hadi

- Mar 14, 2020
- 6 min read

“Jika rindu bisa didengar... Mungkin guruh di langit malu berlagak gagah.” – Alya
SEPANJANG minggu ini hatinya yang sedia kosong dirasakannya semakin kosong. Pulang ke rumah, kosong yang menanti. Datang ke pejabat juga dirasakan kosong yang menyambut hadirnya saban pagi. Mujur juga tugas-tugas yang datang silih berganti menghanyutkan dirinya untuk tidak terlalu melayan rasa kosong yang semakin bercambah. Sepanjang minggu ini Alya cuba mencari apa sahaja cara yang memungkinkan dirinya berada di pejabat menyudahkan tugsan demi tugasan seperti tiada hari esok. Seawal pukul tujuh pagi, diri Alya sudah berada di bilik ini, berteleku di meja. Adakala hingga jam sudah berganjak ke angka sebelas malam pun, dia masih lagi di sini.
Selama seminggu ini juga Alya cuba seboleh mungkin untuk mengelak daripada bertemu muka dengan Adib. Sejak kejadian di kafeteria tempohari, walaupun pada awalnya dirasakan sekadar perkara biasa, tetapi dari sehari ke sehari, Alya semakin gusar. Bukan gusar kerana dapat membaca perasaan Adib terhadap dirinya, tetapi Alya lebih gusar akan apa yang terdetik di jiwanya sendiri. Seboleh mungkin, setiap hari tepat jam lapan pagi dia akan mencari ruang untuk tidak berada di bilik ini. Hati dan jiwanya tidak cukup tegar untuk menatap wajah Adib yang saban hari tidak pernah jemu menghantar kopi kepadanya. Walaupun tindakannya ini pastinya mengundang tanda tanya di hati lelaki itu, Alya bersyukur Adib tidak pula mempersoalkan tindakannya. Paling tidak, yang ditinggalkan di mejanya hanya nota bertanda senyuman dan ucapan selamat pagi.
Entah sampai bila hatinya harus jadi begini. Sentiasa lari daripada kenyataan dan entah bilakah dia mampu membuka pintu hatinya kepada cinta yang baru, agar kesunyian dalam jiwanya terhakis. Ada masanya Alya bencikan rasa sunyi yang membelenggu hidupnya selama ini. Tetapi untuk melepaskan kesunyian itu pergi bukanlah sesuatu yang mudah. Ia sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Sebati. Likat.
Sesekali Alya melihat jam di tangannya. Waktu sudah berganjak ke angka sembilan malam. Masih banyak lagi tugasan yang perlu disiapkannya. Di luar bilik, kelihatan seorang dua pekerja seliaannya yang masih leka di meja. Barangkali mengejar tarikh akhir tugasan. Lagu-lagu santai yang dipasangnya berkumandang menemani sunyi. Alya jadi leka dan hanyut dalam kesibukan yang diciptanya sendiri sedangkan dia boleh sahaja jadi seperti orang lain yang pulang tepat jam lima petang. Namun, ini pilihannya. Pilihan yang dirasakan dapat membawa dirinya keluar dari kenangan lampau yangtidak pernah berhenti menganggu.
“You should go home...”
Alya tersentak daripada lamunan. Melihat Adib yang tercegat di hadapannya menjadikan degup jantung Alya bagaikan bergempita. Pen yang dipegang sebentar tadi pun entah tercampak ke mana. Lelaki itu hanya senyum melihat kekalutan di wajahnya.
“Sorry buat you terkejut,”
Adib lantas duduk di hadapannya tanpa dipersila. Alya hilang kata-kata dan tumpuan. Kenapa Adib masih ada di pejabat? Selalunya waktu-waktu begini, hanya dia yang menjadi penunggu setia di sini.
“I dah nak balik tadi tapi I nampak your car still ada di parkir, so I naik semula since sekarang ni susah betul nak jumpa you. Big boss pun cakap, if you want to see that lady, better buat appointment or else tunggu saja lepas office hour. Jadi I ambil this opportunity.”
Alya tahu big boss yang dimaksudkan Adib tidak mungkin memberi telahan yang sedemikian tentang dirinya. Sekali imbas Alya melihat senyuman nakal di bibir Adib. Ah! Hatinya kembali bergetar kencang. Jika dia mampu menghilangkan diri, saat itu juga akan dilakukannya. Dia tidak mahu berada di sini, melihat senyum manis di bibir lelaki itu apatah lagi melihat lirik mata yang cuba mencuri reaksi diwajahnya waktu ini.
“You dah makan?”
Alya hanya menggelengkan kepala. Lidahnya masih kelu. Segalanya dirasakan serba tidak kena. Dia tersepit dalam keadaan yang cuba dielakkannya selama beberapa hari ni.
“Okey... You siapkan kerja you. I’ll wait, than kita pergi makan,” ujar Adib.
“I... I’m not hungry.”
“Yes, you are. Mana ada orang tak lapar kalau dari siang tadi tak makan? It’s okay, you siapkan kerja you. I boleh tunggu.”
Bagaimana Adib tahu yang dia langsung tidak menjamah makanan sejak siang tadi? Semakin soalan itu menerjah ke mindanya, semakin laju degup jantungnya. Alya hanya mampu memerhati Adib beredar duduk santai di sofa sambil membaca akhbar tanpa menghiraukannya. Alya kembali menyambung tugasan yang masih bersisa. Berkali-kali dia cuba menumpukan perhatian, berkali-kali juga fikirannya menerawang kepada susuk tubuh yang leka menantinya. Di luar bilik, suasana sudah sunyi. Entah bila pekerja seliaannya beredar pulang. Sedar-sedar, tinggal hanya dia dan Adib di sini. Hati Alya kembali tidak menentu. Saki-baki tugasan ini perlu juga dilangsaikan malam ini. Tidak boleh tidak. Sesekali dia mendengus perlahan memikirkan dirinya yang tersepit dalam keadaan ini. Serba-salah jadinya. Ketika jam sudah berganjak ke angka sepuluh malam, barulah segalanya selesai dan dia mampu menghela nafas lega.
Alya segera mengemas barang-barang yang perlu dibawa pulang. Perhatiannya terus terarah kepada Adib. Ah! Kacau. Lelaki itu sudah terlena rupanya. Terlalu penat barangkali. Perasaan kasihan menyelinap ke hatinya. Ditatap wajah Adib dalam-dalam. Apa yang dicarinya di sebalik wajah itu? Perlukah sisa harapan tumbuh dalam jiwanya untuk lelaki ini? Dia mengeluh kembali lalu menghampiri Adib yang masih lena. Ditatap lagi wajah tenang itu semahu hatinya. Bibir Alya menguntum senyum. Perlahan-lahan disentuh bahu Adib.
“Adib... Adib, bangun...”
Terpisat-pisat Adib membuka mata dan membetulkan duduk dan terus melihat jam di tangan. Adib segera meraupkan kedua tangan ke muka, meleraikan lena yang masih bersisa.
“You dah settle kerja? Sorry I tertidur tadi.”
“Ya, dah siap semuanya. You shoudn’t wait in the first place,” ujar Alya serba-salah.
Adib hanya senyum memandangnya ketika mereka beriringnan keluar dan Alya segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Gentar dengan rasa di hatinya sendiri.
“Boss pun cakap nak jumpa you kena buat appointmet. I know schedule you memang dah cukup padat. The other choice datang saja jumpa you lepas office hour di sini. Tak perlu buat appointment,” jawab Adib
Alya cuma mampu senyum mendengar kata-kata Adib yang penuh dengan usikan. Dalam debar dan rasa yang tidak menentu, adakala dia keliru atau mungkin dia sebenarnya mengelak untuk mengerti.
“You nak makan kat mana?”
“I tak lapar,” jawab Alya jujur. Dia memang tiada selera.
“But I am...” Adib berpaling ke arahnya meminta simpati.
Lelaki itu menepuk-nepuk perutnya tanda lapar. Ah! Alasan apakah yang mampu Alya reka kali ini? Dia sudah kering alasan, tambahan pula melihat reaksi Adib, minta dikasihani kerana kelaparan. Alya tidak mampu menolak.
“Fine, I teman you supper but I’ll drive. You are not fit to drive,” ujar Alya.
“Done. But, you have to fetch me tomorrow. I don’t have my car.”
“Did I say I want to?” Alya sengaja tidak mahu terlalu melayan.
Adib segera ketawa lalu masuk ke dalam kereta dengan wajah gembira sedangkan hati Alya berkecamuk dengan segala rasa dan andaian. Ketika menemani Adib makan, suasana berlangsung seperti biasa. Alya berasa lega kerana Adib tidak bertanya kenapa dia seakan cuba menjauhkan diri. Sungguh, sebenarnya dia risau sekira terpaksa berdepan dengan soalan itu. Sukar dibayangkan sekiranya Adib meminta diberikan jawapan. Alasan apakah yang mampu dia berikan sedangkan dia sendiri tahu dia tidak punya sebarang jawapan.
Mereka berbual seperti selalu, tentang perkara-perkara biasa; makanan, musik, filem dan keluarga. Melihat Adib yang riang berbual sambil menjamu selera menjadikan Alya leka. Ingin lari daripada situasi begini, akhirnya ia jadi juga. Ingin lari daripada rasa yang begini, rasa itu datang juga. Semakin dielak, semakin dirinya terjebak. Ketika jarum jam sudah berganjak ke angka dua belas malam barulah mereka berganjak pulang. Adib dihantar ke rumahnya seperti yang diminta.
Seperti selalu, ketika bersendirian dirumah, rasa kosong dan sunyi tetap menjengah. Kenangan-kenangan yang mendatangkan kusut cukup mudah bertandang. Alya segera membersihkan diri, menunaikan solat yang masih tertangguh dan kemudian merebahkan tubuh ke katil. Sesekali ingatan terhadap Sean menjenguk dan mencuit rasanya. Bohonglah jika dia menidakkan hakikat perasaan yang masih bersisa terhadap lelaki itu. Sesekali rindu tetap terdetik di hujung hatinya. Sesekali rasa kasih itu masih berlagu jauh dalam kalbu.
Hanya parut di tubuh dan trauma yang ditinggalkan oleh lelaki itu menjadikan dirinya berpijak di bumi nyata. Hakikat itulah yang sering menampar mukanya, mengingatkan diri bahawa lelaki itu tidak layak memilikinya. Diperhati kipas yang berpusing ligat. Rasa hiba tiba-tiba datang menjenguk ketika mengenangkan kehidupannya yang hampir karam dalam ujian. Airmata Alya mengalir perlahan menuruni cerun pipinya. Kesunyian dirasakan semakin menggigit-gigit tangkai hatinya. Tiba-tiba bunyi pesanan ringkas di telefon mematikan lamunan.
“Assalamualaikum, Alya. Will you fetch me tomorrow? I promise, I’ll behave. I janji I tak akan sepahkan kereta you dengan kertas tisu macam tadi. Fetch me, ya? Please...” rayu Adib.
Alya kembali senyum bila membaca pesanan tersebut. Tetapi, bila masa pula Adib mengotorkan keretanya? Hati Alya terdetik rasa hairan. Rasa yang menjentik-jentik mahukan jawapan. Perlahan-lahan Alya bangkit, dicapai kunci rumah dan kereta lalu keluar melihat keadaan keretanya. Dari luar cermin dilihat ada tiga helai tisu merah jambu terlipat kemas di atas tempat duduk penumpang hadapan. Segera dibuka pintu kereta dan diambil tisu merah jambu tersebut. Dibelek dan dibuka lipatannya satu-persatu. Satu, bertanda senyuman seperti lazim nota yang ditinggalkan Adib di mejanya. Dua, tertera ayat ‘Thank you’ dan yang ketiga... buat matanya terpana, tidak berkejip ketika membaca tulisan di situ, ‘please be your usual self for me... because I really miss that’.
Bagaikan anak kecil dipuji, bibir Alya menguntum senyum. Larut dalam rasa yang tidak mampu dibicarakan. Pintu kereta ditutup dan dia kembali masuk ke rumah; pulang ke tampuk rebah tubuhnya sebelum ini. Dicapai telefon dan dilihat kembali pesanan ringkas lelaki itu. Dibacanya berkali-kali. Lalu...
“Wa’alaikumussalam, Adib. Insya-ALLAH I will fetch you tomorrow since you janji tak akan sepahkan my car dengan tiga helai tisu merah jambu. Night, Adib. Sweet dream.”
Dibiarkan tiga helai tisu merah jambu tersusun cantik di atas meja di sisi katil lalu hanyut bersama lena.








Comments