STAY | BAB 13
- Rumiè Al-Hadi

- Mar 14, 2020
- 8 min read

“... dan aku buka sedikit pintu hati ini untukmu. Tunggu... Amati dahulu rentak hatiku. Adakah sepertimana mahumu?” – Alya
MUNGKINKAH hatinya mampu kembali menerima cinta atau mungkin mampu juga menghulurkan cinta itu kembali kepada seseorang selepas ini? Alya termenung sejenak dalam persoalan yang terdetik dibenaknya. Memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Mampu atau tidak? Fikirannya menerawang. Kisah-kisah silam yang bergawang di benaknya seakan menghukum kudrat jiwa yang tidak seberapa. Mangapa pula dia yang perlu rasa terhukum sebegini sedangkan dialah mangsa? Mangsa yang selayaknya dibela. Tetapi dirinya kini bagaikan seorang pesalah dihukum dan terhukum dalam diam hingga terpaksa membawa diri ke daerah ini. Jauh daripada segala yang dimilikinya dahulu.
Sesekali wajah lelaki yang masih kuat mengisi ruang hatinya kembali menerjah ingatan. Dendam, benci, sayang dan rindu bercampur menjadi satu rasa yang begitu rumit untuk diolahnya. Perasaan yang semakin hari semakin menghimpit dan menekan seluruh kehidupann Alya. Mahu ditepis, namun ia hadir juga. Mahu ditentang, kudrat jiwanya tidak terdaya. Mahu menerima, di manakah pula letak maruah dirinya? Sesekali sayang dan rindu terhadap lelaki itu menerjah juga ke jalur perasaan Alya.
Segala kenangan bersama Sean bagai menyuruh agar dirinya kembali menerima lelaki itu seperti dahulu. Namun, satu titik hitam yang melekat di hatinya sering juga berkata, jangan. Mimpi-mimpi sedih yang mengejar lenanya adalah bukti penderitaan yang entahkan bila akan terpadam.
Airmatanya mengalir perlahan menuruni cerun pipi. Setiap kali dipejamkan mata, setiap kali itu juga tergambar jelas kejadian tiga tahun lalu. Dia ingin menjerit kepada semua semahu hati agar dunia tahu penderitaan jiwa yang ditanggungnya. Dia mahu seluruh dunia ini tahu bahawa lelaki yang pernah mengisi ruang hatinya itu adalah pemangsa yang membunuh ketenangan hidupnya selama ini. Siapakah yang mampu memahami? Siapakah yang mahu mempercayai dirinya? Dia mengeluh sendiri. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi minta perhatian.
Dibiarkan panggilan itu berlalu begitu sahaja. Dia tidak mahu diganggu. Dia tidak mampu melayani sesiapa pun. Dia mahu sendiri. Diperhati ruang rumah yang sepi. Bagai terdengar detak jantungnya sendiri. Kesunyian yang menggigit-gigit jiwanya semakin hari semakin galak. Perlahan-lahan Alya bingkas bangun, cuba mengelak daripada terus berfikir tantang kenangan yang menyesakkan.
Telefon bimbitnya kembali berbunyi minta perhatian. Adib. Alya mengeluh perlahan. Adilkah dia membiarkan panggilan lelaki itu begitu sahaja? Adilkah jika dia menjadikan lelaki itu mangsa keresahan hatinya? Alya mengeluh sendiri mengenangkan lembut hatinya yang tidak mampu menjadikan insan lain sebagai bahan lampias kemarahan. Ya, rata-rata mengingatkannya tentang sikap Adib yang ‘kaki perempuan’. Cuma, lumrah manusia cukup mudah melihat sisi buruk seseorang dan sering gagal melihat sisi baik lelaki itu juga.
“Asslamualaikum,” suara Adib kedengaran memberi salam.
“Wa’alaikumussalam”.
“Hey, banyak kali I call. So, what time do you want me to fetch you?” soal Adib.
“Fetch me?” dia keliru.
“You lupa, ya? You ajak I keluar dinner malam ni?”
“Gosh! Adib... I’m so sorry. Really... I terlupa,” sungguh dia memangnya terlupa dengan ajakannya pagi tadi. Rasa bersalah menerawang bercampur-baur bersama resah yang menggunung di jiwanya kini.
“Do you still want to go? Kalau you penat, it’s okay. Kita boleh keluar lain kali saja. You did sound macam penat saja,” ujar Adib cuba memahami.
“I yang ajak you.”
“Look... my mum did cook wonderful nasi tomato untuk dinner malam ni sebab all my aunties nak datang as usual and kami anak-anak kena tunjuk muka. If it’s okay with you, I boleh bawa ke rumah you and we can still have dinner together. At the same time I boleh lari daripada my aunties, you faham, kan? Itupun kalau you setuju,” anjur Adib bersahaja.
“I tinggal sendiri, lagipun menyusahkan you saja,” dia cuba mengelak.
“I tak minta you bawa I masuk rumah. You pernah cakap depan rumah you ada gazebo, boleh saja makan kat situ. I bukan cerewet sangat. Lagi okey makan open air. Nak susah apanya... I suruh saja maid sediakan, just bawa ke rumah you. Kalau I ajak you makan kat rumah I, I’m sure you definitely akan tolak. So, what say you?” tanya Adib lagi. Dia tidak sampai hati untuk menghampakan Adib.
Hatinya berat. Sungguh berat. Lama Alya berdiam, berperang dalam perasaan sendiri yang sungguh sukar dimengerti. Hendak ditolak dia seperti diserang rasa bersalah kerana dialah yang mengusulkan temujanji malam ini. Apakah dengan terperuk di dalam rumah sepi itu boleh melunturkan segala resah di hatinya? Bolehkah membawa kekalutan jiwanya pergi jauh? Tidak.
“If it’s okay with you,” dia akhirnya mengalah.
“No big deal. Around 9.00pm? Is it okay?”
“Nine will be fine.”
“My mom masak sedap, dengan kasih sayang juga,” Alya senyum sendiri membayangkan senyum manis lelaki itu dihujung talian sana yang cuba mengusiknya.
“Lucky me I guess,” dia terdengar Adib ketawa gembira.
“Okeylah... see you at nine.”
“Okey.”
Dimatikan talian dan Alya kembali merenung siling putih, kosong. Diperhatikan cuaca di luar yang semakin redup dibayangi awan. Diperhatikan dirinya dan secara tiba-tiba dia bagaikan terdengar-dengar suara Adib berkata... “My mom masak sedap, dengan penuh kasih sayang.” Terdengar-dengar tawa bahagia di ulas suara lelaki itu, buat dia senyum sendiri. Seperti selalu Alya kembali berasa tenang.
“Boleh buatkan I kopi ‘O’? My favorite.”
Pesanan ringkas yang muncul di skrin telefon bimbitnya sekali lagi mengukir senyuman ke wajah Alya, bercampur bersama tenang yang bagaikan memujuk hatinya. Jam sudah berganjak ke angka 5.30 petang. Dia perlu segera pulang jika tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalanraya sekiranya tidak mahu tiba lewat ke rumah. Banyak yang perlu disiapkannya nanti. Dia perlu mengemas gazebo dan menghiaskannya.
Semasa arwah baba masih ada, gazebo itu jadi saksi mama dan baba selalu bersantai menyemai cinta setelah penat mengurus anak-anak dan kerja di siang hari. Setelah baba tiada, rumah itu tinggal kosong. Hanya diurus oleh adik baba atas permintaan mama dan sesekali kami akan pulang melihat keadaan. Sekali lagi Alya melihat jam dipergelangan tangannya. Dia tidak boleh berlengah lagi.
Ketika masuk ke lebuhraya tadi, syukurlah jalanraya tidak begitu sesak. Lebih kurang pukul 6.30 petang Alya sudah sampai ke rumah. Diletakkan kereta agak ke dalam di bawah porch bagi memudahkan Adib meletakkan keretanya nanti. Rumah banglo dua tingkat ini memang terlalu besar untuk dia tinggal seorang tetapi dia tidak begitu kisah. Sesetengah orang akan takut tinggal bersendirian. Tambahan pula tinggal di kawasan yang jarak antara satu rumah dengan rumah yang lain agak jauh namun dia sudah terbiasa.
Masuk ke rumah sahaja segera dipasangnya lampu dan kipas di ruang tamu lalu terus naik ke tingkat atas. Diletak bag komputer riba dan fail kerja di bilik khas yang dijadikan pejabat mini. Alya terus ke bilik tidurnya menyalin pakaian dan kemudian turun semula ke tingkat bawah. Diperiksa lampu gazebo agar elok berfungsi. Meja kecil di tengahnya dialih kemudian hamparan carpet berwana coklat lembut dihamparkannya di situ. Meja kecil itu kembali diletakkan ke tempat asal dan di alas. Kemudian diletakkan bantal-bantal kecil jadi penghias seperti yang selalu mama lakukan.
“Ada orang nak datang ke, Alya?” Uncle Raymond tiba-tiba menyapa.
“Eh! Uncle... ya, nanti ada kawan nak datang. Uncle dari mana ni?” soalnya penuh hormat kepada jiran lama dan juga kawan baba.
“Bawa Lucy for evening walk,” jawab Uncle Raymond merujuk kepada anjing baka golden retriever yang dipeliharanya.
“Uncle balik dulu... have fun with your friend,” ujar Uncle Raymond lalu beredar.
“Okay, bye.”
Alya kembali menghias apa yang perlu dan kemudian dipasangnya langsir putih di setiap penjuru gazebo. Selesai sahaja waktu sudah berganjak ke angka tujuh malam. Sekejap lagi azan maghrib. Dia segera masuk ke rumah. Sengaja dibiarkan lampu gazebo sedia terpasang. Kalau baba masih ada, hampir setiap malam baba akan meluangkan masa berdua-duaan dengan mama di gazebo itu. Dia mengeluh berat.
Usai membersihkan diri dan solat maghrib, Alya segera bersiap. Dikenakan loose blouse berwarna baige dan loose khakis. Rambut paras bahu yang selalu dibiar lepas, disanggul ringkas. Dia tidak kisah jika dilihat tanpa make-up. Memang dia selesa begitu menjadi dirinya yang serba ringkas. Ditarik nafas dalam-dalam buat terakhir kali dia melihat dirinya sendiri di cermin.
Bila turun ke ruang tamu, segera dipasangkan musik agar tidak terlalu sunyi lantas terus ke dapur dan dipanaskan air. Kemudian pinggan, cawan serta keperluan lain dihantar ke gazebo begitu juga kotak kayu hadiah untuk Adib. Bila semuanya sudah teratur cantik barulah dia duduk santai mendengar musik sambil membaca buku di ruang tamu sambil menunggu kedatangan Adib. Berganjak ke angka 8.15 malam, telefon bimbitnya berbunyi.
“Share your location, please. I’m on my way. Lapar ni.” tulis Adib. Dia segera berkongsi lokasi rumahnya ke nombor Adib.
“Hati-hati drive,” balasnya.
Alya kembali leka melayan lagu yang berkumandang sambil sehelai demi sehelai lembaran buku yang dibacanya diselak. Sesekali dia melihat jam di tangan. Ada debar di dadanya. Adakah betul tindakannya ini? Dirasakan dirinya mula membuka ruang bagi Adib menyusup masuk ke dalam kehidupannya sedikit demi sedikit. Sudah bertahun lamanya dia tegar menutup kehidupan peribadinya daripada pengetahuan orang lain. Dia mengeluh lagi.
Tepat pukul 9.00 malam Adib menghubunginya, memberitahu yang dia sudah ada di luar pagar. Alya segera menekan butang auto-gate dan keluar menunggu Adib di halaman. Dari dalam kereta lagi sudah kelihatan Adib tersenyum lebar. Alya turut senyum. Selesai kereta diletakkan di bawah porch, Adib segera keluar. Dirasakan hatinya kembali tidak keruan. Adib kelihatan santai, hanya memakai kemeja denim kelabu yang disinsing separuh lengan, seluar jeans biru dan sandal. Ringkas. Jauh bezanya dengan penampilan lelaki itu ketika di pejabat. Dia segera membantu Adib mengeluarkan bekas makanan dari bonet kereta ke gazebo.
“This is nice...” ungkap Adib perlahan ketika melihat gazebo yang sudah terhias indah..
“Tadi kata lapar... jom makan,” pelawanya.
“My mom kirim salam. She loves the cookies. Kira lulus,” ujar Adib. Dirasakan wajahnya membahang. Adib hanya senyum melihatnya.
Makan malam hasil tangan ibu Adib dinikmati bersama sambil mereka berbual. Sesekali Adib membuat jenaka memecahkan derai ketawa.
“You tinggal seorang, tak takut?” tanya Adib tiba-tiba.
“Dah biasa.”
“Tak sunyi?” soal Adib lagi. Alya melihat ke dalam mata Adib.
“Well, at time kita tak boleh lari daripada kesunyian, Adib. Jika sunyi lebih baik untuk jiwa, jadi kena terima seadanya,” jawab Alya sopan. Adib senyum lagi.
“Eh! Sebelum lupa, nah... ini goodies untuk you since you tepati janji teman I dinner malam ni,” diunjukkan kotak kayu berikat reben kepada Adib.
“Bukalah,” arah Alya agar Adib melihat isi kotak tersebut.
“Wow! This is beautiful... gitar apa ni?”
“Not guitar... We call it bouzouki. Greek instrument in the rebetiko subculture. It’s a special instrument for Greek,” jelas Alya agar Adib lebih faham.
“This must be expensive, you don’t have to do this. Dapat dinner dengan you pun bagi I dah macam hadiah sebesar gunung,” Adib cuba mengambil hatinya. Ada sahaja ayat manis yang cuba diselitkan dalam bual mereka bersama. Alya seperti dapat mengagak perasaan Adib terhadapnya tetapi dibiarkan sahaja. Adib kembali membelek hadiah yang diterimanya. Cuba memainkannya walaupun sumbang.
“Tadi my mom tegur siapa bagi I kopiah, dia puji cantik.”
“You jawab apa?”
“I tanya my mom semula, mommy... macam ustaz tak? Kalau Adib macam ustaz maka yang bagi ni bakal ustazahlah,” Alya terus tergelak mendengar jawapan Adib itu. Walaupun dia dapat merasakan Adib sebenarnya memberi petunjuk, dia tidak mahu memikirkan semua itu.
“You tahu my mom buat apa?”
“Apa?”
“Dia angkat tangan tinggi-tinggi siap cakap, ya Allah anak teruna aku dah insaf, alhamdulillah. Than my aunties mulalah bagi panas, cakap... Dapat menantu akhirnya kau, ngah. Kecoh,” cerita Adib. Alya kembali ketawa. Dia sudah lama tidak benar-benar berasa gembira seperti ini. Dari pukul 9.00 malam berganjak ke pukul 11.00 malam, mereka masih berbual santai di gazebo itu. Saling bertukar cerita.
“Dah lewat. I think I should make a move. You pun mesti nak rehat,” ujar Adib sambil melihat jam tangannya.
“Let me cuci dulu semua bekas ni.”
“No need. Rumah my mom satu hala ke rumah I. Nanti I drop by hantar bagi maid je basuh. Jom kemas dulu gazebo ni,” ajak Adib lalu bingkas bangun. Disusun pinggan dan cawan ke dulang. Kemudian alas meja dan karpet pula dilipatnya. Selesai mereka berkemas, bekas-bekas makanan kembali dimasukkan ke bonet kereta.
“Thanks Adib temankan I malam ni. Your mom is indeed a very good cook. Sampaikan my salam to her.”
“Thanks to you too for the gifts.”
Dia segera mengiringi Adib masuk ke kereta. Menunggu lelaki itu menggerakkan kereta untuk beredar.
“Alya...” panggil Adib semula.
“Ya...”
“One day you kena terima jika ada orang yang sudi hidup sama-sama dalam kesunyian you. Who knows maybe that person boleh main bouzouki supaya you tak sunyi lagi. Goodnight,” ujar Adib sambil tersenyum lebar. Alya cuma mampu senyum dan tunduk mengalihkan pandangannya daripada wajah Adib.
“Night. Careful,” jawab Alya sebelum Adib hilang daripada pandangan. Dilabuhkan tubuhnya ke sofa dan kembali tersenyum mengingati kata-kata Adib tadi. Dia mengerti maksud Adib itu. Namun perisai yang dipasang ke hatinya masih teguh membatasi penerimaannya. Biarlah. Tidak guna dipaksa. Jika perisai yang dibina itu runtuh, biarlah dia dalam keadaan yang cukup bersedia kerana itu lebih adil untuk dua jiwa.








Comments